Wednesday 7 January 2015

Projek Baru: Hantaran Tanpa Bunga

Assalamualaikum.

Hujan membasahi bumi. Alhamdulillah.

Saya sekarang dalam fasa menyediakan aksesori utama hantaran adik ipar. Insya Allah, majlis akan berlangsung sekitar Mac nanti. Konsep hantaran mengikut kreativiti saya sendiri. Bakal pengantin memilih warna utama ungu dan saya bercadang menggabungkannya dengan warna perak atau silver.

Saya suka bereksperimen dan mencuba sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Jika sebelum ini saya menggunakan bunga kristal sebagai aksesori utama, kali ini saya ingin menggunakan mini kusyen. Saya juga cuba untuk tidak menggunakan bunga sama ada bunga segar atau tiruan sebagai hiasan.

Nantikan hasilnya nanti. Saya akan kongsikan di sini.


Friday 2 January 2015

Akaun Tabung Haji Kanak-kanak dan Pendaftaran Haji menggunakan Akaun KWSP

Assalamualaikum W.B.T.

Semalam kami sekeluarga telah ke Bangunan Tabung Haji yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur untuk membuka Akaun Tabung Haji untuk anak-anak selain mendaftar haji.

Apakah yang diperlukan untuk membuka akaun untuk anak?

1. Borang pembukaan akaun baru
2. Borang penamaan (perlu dua orang penama)
3. Slip deposit wang
4. Sijil kelahiran asal

Syarat lain ialah penjaga perlu mempunyai Akaun Tabung Haji juga dan penjaga perlu hadir bersama-sama ketika akaun dibuka.

Proses pendaftaran di kaunter adalah mudah kerana semua borang telah lengkap diisi dan dokumen sokongan yang diperlukan juga ada dibawa bersama.

Saya juga telah mendaftar haji untuk diri sendiri menggunakan akaun KWSP. Apakah dokumen yang diperlukan?

1. Buku Akaun Tabung Haji
2. Penyata terkini KWSP

Syarat utama pendaftaran haji menggunakan akaun KWSP ialah ahli perlu mempunyai minimum RM1,300 dalam Akaun 1. Prosesnya cukup mudah, hanya di kaunter informasi tanpa perlu mengambil nombor giliran. 

Bagi yang tiada RM1,300 dalam Akaun Tabung Haji, tetapi mempunyai Akaun KWSP, tiada alasan lagi untuk melambatkan pendaftaran haji kerana semakin lama semakin panjang giliran untuk menunaikan haji. Semoga Allah S.W.T. memudahkan urusan untuk kami sekeluarga menunaikan haji nanti.

Alhamdulillah, cuti suami dapat dimanfaatkan sebaiknya.


TAHUN BARU 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah S.W.T. masih beri kesempatan untuk kita meneruskan kehidupan pada tahun 2015 ini. Nikmat hidup, nikmat yang seringkali kita terlepas pandang, yang ianya adalah nikmat terbesar yang Dia kurniakan kepada hamba-Nya.

Pelbagai episod suka dan duka diharungi sepanjang tahun 2014. Jadikan teladan, sempadan dan pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan pada tahun ini. Jangan sesekali berputus asa. Yakinlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Dia adalah sebaik-baik perancang.

Permulaan tahun baru ini juga adalah hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.. Sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas Baginda. Selusuri kehidupan Baginda dan jadikan Sunnah-sunnahnya sebagai ikutan.

Akhir kata, Selamat Tahun Baru 2015 dan Salam Maulidurrasul.


Thursday 25 December 2014

Penghantaran Ke Rumah: Nasi Kerabu Omma

Assalamualaikum.

Pagi ini hujan rahmat Allah S.W.T. turun lagi membasahi bumi. Semoga banjir yang melanda negeri Kelantan khasnya akan surut. Semoga semua penduduk yang terjejas diberi kekuatan dan kesihatan menghadapi dugaan ini.

Saya jarang sekali teringin makan nasi kerabu, makanan istimewa negeri Kelantan. Namun, keinginan membuak-buak bila dapat tahu ada pengusaha nasi kerabu ini yang ada menyediakan khidmat penghantaran nasi kerabu di sekitar Kepong dan Selayang pada hujung minggu. Saya 'terjumpa' Nasi Kerabu Omma melalui laman instagram mereka.

Memandangkan semalam adalah hari cuti am seluruh negara, saya telah menghubungi mereka untuk bertanya sama ada boleh dibuat penghantaran ke rumah. Alhamdulillah, mereka boleh aturkan dengan caj penghantaran RM5. Lauk yang disediakan sama ada ayam madu atau ikan celup tepung.

Alhamdulillah, rasanya tidak mengecewakan, malah saya rasa kerabunya sungguh manis dan menepati selera saya lebih-lebih lagi ayam madu tersebut. Saya pasti akan memesan lagi. Harga semasa sebungkus nasi kerabu dengan lauk ialah RM5.

Baru-baru ini, Nasi Kerabu Omma juga boleh didapati di Taman Ehsan, Kepong pada setiap pagi. Jadi tidak perlu menunggu hingga hujung minggu untuk menikmati kelazatan nasi kerabu ini.

Bagi pembaca yang berminat mendapatkan Nasi Kerabu Omma atau inginkan maklumat lanjut boleh layari laman Facebook Nasi Kerabu Omma atau akaun instagram nasikerabuomma.

Bercerita mengenai kerabu, tahukan anda antara tumbuhan yang sedap dibuat kerabu ialah daun beluntas? Tunggu entri selanjutnya.

Wednesday 24 December 2014

Dugaan Banjir: Jalan Gerik-Jeli

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, celik-celik mata, keluarga ada di sisi. Alhamdulillah, masih diberi peluang bernafas di bumi Allah S.W.T. ini.

Ketika saya menulis ini, negara sedang mengalami musim tengkujuh dan fenomena air pasang yang mana lima negeri di Semenanjung terjejas akibat banjir dengan Kelantan mendahului dalam senarai paling ramai penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan. Negeri lain yang terjejas ialah Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. Sabah juga tidak terkecuali kali ini.

Saya teringat beberapa gambar yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp yang menunjukkan tanah runtuh di Jalan Gerik-Jeli selepas kawasan Rehat & Rawat Titiwangsa beberapa hari lepas. Pemandu & penumpang sebuah lori dan sebuah kereta terselamat dalam kejadian tersebut. Alhamdulillah, walau pun jalan ini ditutup buat sementara waktu untuk semua jenis kenderaan, tiada nyawa yang melayang.

Jalan Gerik-Jeli ini sememangnya mempunyai tempat dalam memori perjalanan kerjaya saya sebagai Pegawai Penyelidik sebelum ini. Pasukan kami juga seringkali berhenti di R & R tersebut sebelum ke kawasan kajian. Pemandangan dari R & R Titiwangsa yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini amat indah sekali.

Saya teringat ketika kali pertama di bawa ke kawasan kajian, saya tidak boleh melelapkan mata sepanjang perjalanan dari ibu kota. Sesuatu yang tidak  pernah berlaku bagi saya yang pastinya akan tidur dalam perjalanan, lebih-lebih lagi perjalanan yang jauh. Puas menahan mata, sehingga berair dan beberapa kali menguap. Memandangkan ini pengalaman pertama saya, saya tidak dapat mengagak jarak perjalanan dan tempoh masa yang diperlukan untuk sampai. Mengikut rakan-rakan, ada beberapa 'landmark' atau 'pitstop' yang kami akan lalui untuk sampai ke destinasi. Kuala Lumpur-Tol Kuala Kangsar-Tasik Banding-Pekan Gerik-R & R Titiwangsa-Jalan Masuk Kawasan Kajian.

Hari sudah gelap ketika kami tiba di Pekan Gerik. Cuaca sejuk dan berkabus sewaktu melalui jalan Gerik-Jeli tersebut. Jarak penglihatan juga terhad dan hanya nampak kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang menjemput kami sahaja. Waktu ini saya sudah tersengguk-sengguk, mujur bukan saya yang memandu.

Kereta kami diletakkan di jalan masuk sahaja kerana perjalanan ke dalam kawasan kajian perlu menggunakan 4WD. Seawal pintu ditutup, saya sudah terlelap. Jalan masuk yang mencabar tidak sama sekali menghalang saya daripada terlena walau pun kepala sakit terhantuk tingkap. Cakap-cakap rakan pun saya tidak ambil pusing lagi, sedar-sedar sudah tiba di kawasan penginapan.

Apa yang 'meninggalkan kesan' yang saya akan ingat sampai bila-bila ialah saya disahkan menghidap 'chicken pox' sekembalinya saya dari kawasan kajian! Sudahnya, saya dapat cuti sakit selama tiga minggu, tidurlah puas-puas. ('',)

Cerita ini adalah antara pengalaman yang saya timba sepanjang kerjaya saya sebagai Pegawai Penyelidik walau pun hanya sekejap. Kerja di lapangan banyak mematangkan saya. Saya kira, mungkin tiada sebab lagi untuk saya melalui Jalan Gerik-Jeli tersebut, tetapi siapa tahu saya akan melusuri semula semua itu suatu hari nanti.

Sekali lagi, saya mendoakan agar semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini dan semoga semua petugas dan sukarelawan diberi kemudahan melaksanakan tugas-tugas murni mereka.


Bunga Kristal dan Pengantin: Jimat dengan Konsep Semi DIY

Kristal

Kristal (beads, manik) biasa digunakan dalam perincian pada pakaian dan aksesori termasuklah gelang dan rantai. Ia juga boleh digubah menjadi pokok hiasan yang semakin mendapat tempat di kalangan wanita.

Materialnya yang ringan, berwarna-warni dengan pelbagai bentuk menjadi semakin cantik apabila terkena cahaya. Efek kilauan inilah yang menjadikan kristal tampak eksklusif dan mewah. Kristal juga mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri kerana ia tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi.

Bunga Kristal

Kristal boleh digubah menjadi kelopak-kelopak bunga yang cantik dan amat sesuai dijadikan penyeri sesuatu majlis. Diserikan lagi dengan aksesori tambahan seperti riben dengan warna senada atau kontra, pastinya menambah seri kilauan bunga kristal tadi.

Adat masyarakat kita menyediakan hantaran, bunga telur dan cenderamata yang cantik dan menarik sewaktu majlis pertunangan atau perkahwinan seakan memberi laluan mudah untuk bunga kristal mendapat tempat dalam masyarakat.

Berbeza dengan bunga segar yang mempunyai 'had masa luput', bunga kristal ini tahan lama dan tidak memerlukan penjagaan khusus. Faktor ini amat penting untuk bakal pengantin yang perlu menempoh perjalanan jauh. Lebih-lebih lagi, bunga kristal ini digubah dengan menggunakan dawai membuatkan ianya mudah dibentuk semula sekiranya berubah dari kedudukan asal.

Padanan warna kristal yang sesuai dengan aksesori lain seperti riben pastinya akan membuatkan gubahan bunga kristal tampak lebih menarik dan eksklusif. Gubahan bunga kristal juga biasanya tidak perlu terlalu sarat kerana gubahan yang ringkas sahaja sudah boleh memberi impak kepada keseluruhan gubahan.

Hantaran Bunga Dulang Kristal

Ramai bakal pengantin yang sudah terpikat dengan kecantikan bunga kristal ini akan terkejut dengan harga yang dikenakan untuk gubahan bunga kristal ini, sama ada sebagai bunga dulang hantaran atau pun bunga telur. Walau pun harga bahan yang diperlukan tidak terlalu tinggi, kaedah pembuatannya yang rumit dan mengambil masa yang lama menyebabkan harga yang dikenakan sedikit tinggi. Tambahan pula, ia dibuat secara manual dan memerlukan kemahiran dan kreativiti penggubahnya.

Kebiasaannya, harga bagi gubahan hantaran yang menggunakan bunga kristal ini bermula daripada RM50 bagi setiap dulang. Harga bagi bunga telur kristal pula bermula daripada RM5 sebatang (tidak termasuk telur rebusnya). Harga adalah berbeza mengikut corak gubahan dan saiz bunga kristal tersebut.

Menjadi suatu kelaziman bagi bakal-bakal pengantin menyimpan impian menyediakan sendiri persiapan perkahwinan mereka, walau hanya gubahan hantaran (bilangan hantaran adalan lebih kecil berbanding bilangan cenderamata untuk tetamu). Namun,pelbagai halangan timbul lebih-lebih lagi bagi yang ingin menggubah sendiri hantaran mereka menggunakan bunga kristal. Kononnya ingin menjimatkan upah gubahan hantaran, tetapi penyediaan bunga dulang kristal adalah lebih rumit berbanding gubahan menggunakan bunga segar atau tiruan. Pendam sahaja impian itu atau labur lebih untuk membayar upah?

Konsep Semi DIY

Kami di Kraf Suri berhasrat membantu bakal-bakal pengantin yang ingin menjimatkan kos mengupah gubahan hantaran dan pada masa yang sama menyediakan sendirihantaran tanpa perlu menjadi terlalu kreatif dan berseni.

Kraf Suri memperkenalkam konsep semi DIY yang mana kami menyediakan gubahan bunga kristal yang telah siap dengan aksesori pelengkap. Anda hanya memerlukansedikit daya imaginasi dan beberapa peralatan asas seperti gunting dan pelekat sebagai pelengkap gubahan yang cantik. Lebih memudahkan lagi, kami juga membekalkan anda dengan riben yang sesuai dengan warna bunga kristal tersebut.

Buat sementara waktu ini, kami hanya menjual produk yang telah siap. Walau bagaimanapun, anda juga boleh membuat tempahan awal mengikut warna tema majlis anda berdasarkan kekosongan slot tempahan.


Hubungi kami dengan email di krafsuri@gmail.com atau layari Page kami di Facebook untuk sebarang pertanyaan,pembelian dan tempahan.